Wet wet wet
Pada hari sabtu lepas, saya, kakak saya dan dua orang anak-anaknya, dua orang anak-anak saudara saya dan ibu saya telah pergi berjalan-jalan ke Taman tema Air di Pedas, Negeri Sembilan. Kami bertolak dari rumah pada pukul 9.30 pagi dan melalui jalan belakang untuk ke Lebuhraya Utara Selatan dari Nilai. Saya telah memandu kereta dari Sijangkang melalui Sungai Manggis, Bukit Changgang, Dengkil, Sepang dan keluar ke lebuhraya di Nilai. Jalan belakang ini sudah dibesarkan dan hampir tiada kesesakan berlaku. SAya dapat menjimatkan masa dan duit daripada membayar tol jika saya melalui KESAS dan ELITE untuk ke PLUS. Cuma pada waktu malam keadaan di jalan belakang agak berbahaya kerana lampu jalan tidak dinyalakan dan saya terpaksa bergantung pada lampu kereta. Tambahan pula, kenderaan berat amat banyak di jalan tersebut disebabkan projek-projek yang bertambah apabila KLIA didirikan di situ. Saya berasa amat takut pada perjalanan balik apabila saya mendapati ada satu lori panjang jenis Volvo telah mengekori kereta saya dengan amat rapat. Pemandu-pemandu di kawasan itu juga kebanyakkannya suka memandu laju. Peristiwa itu telah menyebabkan saya bertekad pada masa hadapan saya tidak akan melalui jalan belakang pada waktu malam. PEngalaman sabtu lalu juga telah mengingatkan saya pada peristiwa semasa perjalanan balik dari temujanji dengan pakcik di KLIA.
Berbalik pada cerita perjalanan kami, saya telah berjanji dengan kakak saya yang tinggal di Kajang untuk bertemu di Hentian Rehat Seremban. Sebagai seorang yang tidak mempunyai kampung, saya memang jarang melalui lebuh raya kecuali KESAS di mana saya berulang alik ke tempat kerja hari-hari. Oleh itu, saya berasa amat gembira dapat berjalan jauh. Saya mendapat Hentian Rehat PLUS telah berwajah baru. Seolah-olah, Hentian tersebut baru sahaja bertuakr alat tatarias daripada Avon ke MAC. KEmudahan di hentian tersebut sangat selesa, malah bilik air berbau sangat harum. Di sana, ada beberapa orang pemuda cuba menjual kacamata hitam kepada pengunjung hentian rehat. Pada mulanya saya turut tertarik dengan kacamata yang murah itu, tapi saya mengingatkan diri saya bahawa saya tidak mempunyai banyak wang sekarang. SAya kekurangan wang disebabkan saya tidak boleh menggunakkan kad kredit di stesen minyak. Ini disebabkan saya tidak mengambil pos laju yang mengandungi kad kredit bercip baru saya. Saya adalah seorang yang tidak sensitif dan sering mengambil mudah dalam perkara ini. Secara pendeknya, saya seorang yang malas.
Setelah menunggu kakak saya dan anak-anaknya hampir satu jam, kami pun bertolak ke Pedas. Samapai sahaja di Taman Tema PEdas, kami sekeluarga berasa ragu-ragu kerana tempat itu agak lengang dan hanya beberapa biji kereta yang kelihatan. Walaubagaimanapun, kami yakin dengan pemandangan tempat tersebut yang menarik. Ada kolam seperti parit yang mengelilingi taman tema tersebut, ada beberapa kolam lain untuk kanak-kanak dan dewasa, ada satu pantai buatan dengan ombak yang tidak akan menjadi tsunami dan ada sepasang gelongsor kembar yang tidak mewajibkan penggunanya memakai seluar pendek. Tempat-tempat berkelah disediakan di merata tempat, malah tempat yang kami pilih agak jauh dan tiada pengunjung lain. Ini telah menyebabkan kami menyeludup makanan walaupun adalarangan membawa makanan dari luar.
Kami menyewa 3 buah pelampung dan bermain air dengan seronoknya. Kami bermain gelongsor berulang kali sampaikan pengunjung lain terpegun melihat gelagat kami. Kami menyusuri parit panjang dengan pelampung. Pada petangnya, saya dan kakak saya mandi di spa air panas semula jadi yang disediakan. Mungkin disebabkan saya tidak mengambil langkah-langkah berjaga semasa mandi spa, keluar saja dari spa kepala saya menjadi amat pening. Setelah puas bermain air, kami pun bergerak pulang ke rumah pada jam 6.30 petang.
Di dalam perjalanan pulang, kami berhenti di Hentian Rehat sekali lagi untuk menikmati makan petang. Saya sempat singgah di kedai buku Highwaymart dan membeli sebuah buku bertajuk, "Kenapa umat Nabi Muhammad istimewa". Seperti biasa, saya telah terlupa untuk menyimpan resit pembelian buku saya. Saya seperti orang kaya yang tidak memerlukan resit pembelian buku untuk saya membuat pengurangan cukai pendapatan. Saya sering mendapat susah di kemudian hari seperti pada saat ini saya masih belum melangsaikan cukai pendapatan saya pada tahun lepas. Walaupun gaji saya sedikit dan saya mempunyai banyak tanggungan, tapi saya masih perlu membayar cukai sebanyak RM130 pada tahun ini. Saya tidak mengetahui apakah kemudahan yang saya dapat dari pembayaran cukai ini kerana saya mendapati kos hidup saya meningkat tinggi berbanding kenaikan gaji. Harga kenaikan nasi ayam dan rojak di kawasan perumahan saya yang masih kampung itu ialah 50sen, walaupun harga kenaikan minyak petrol baru 12sen.
Mungkin itu salah satu keistimewaan umat Nabi Muhammad SAW yang tetap gigih dan kuat imannya mengharungi hidup yang penuh cabaran. Kesimpulan dari perjalanan saya ke Taman Tema Pedas ialah saya amat berpuas hati. Taman Tema Pedas adalah sebuah tempat yang menarik dan menyeronokkan. Jikalau saya berpeluang ke sana dengan percuma, sudah tentu saya akan ke sana. Jika saya perlu membayar, saya akan ke tempat yang belum saya jejaki.
1 comment:
ayah dan mak sedang menyusun+mengira resit buku cerita+teks+rujukan kami adik beradik yg panjang berjela2... scene biasa setiap kali tahun baru menjelang :)
Post a Comment